KUCHING: Tidak sanggup menanggung dosa
besar angkara syarat pelik keluarga mentua yang memaksa melangkah
al-Quran sebelum dibenar mendapatkan kembali isteri dan anak-anak,
seorang saudara baru mengadu kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam
Sarawak (Jais), selain membuat laporan polis.
Sebelum ini, Mohd Ikmal Hakimie
Abdullah, 32, sudah tujuh kali melangkah al-Quran di depan pintu utama
rumah mentuanya selepas dipaksa berbuat demikian oleh keluarga mentuanya
yang beragama Islam.
Dia mendakwa, setiap kali
berbuat demikian kejadian itu turut disaksikan dua penduduk kampung
mentuanya di Trusan Jaya, di sini, termasuk seorang daripadanya
berbangsa Cina.
Mohd Ikmal mendakwa, syarat
pelik keluarga mentuanya itu kali pertama berlaku pada Disember 2008
ketika dia bertandang ke rumah mereka bagi menjemput isteri berusia 27
tahun dan dua anak lelaki berusia tiga serta lima tahun selepas wanita
berkenaan melarikan diri dari rumahnya di Sematan.
“Saya dipaksa melakukan
perbuatan itu sebagai syarat mendapatkan semula isteri dan anak serta
membuktikan saya tidak mengamalkan sihir. Ini kerana keluarga mentua
menuduh saya mengamalkan sihir ketika datang mengambil isteri dan anak
di rumahnya.