DI SAMPING isteri tercinta, Diyana yang cukup teruja dengan kemenangan Aaron pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011, Ahad lalu.
FIGURA kacak itu kini sedang sibuk menjalani proses penggambaran drama bersiri 80 episod berjudul Adam dan Hawa serta baru menghabiskan penggambaran filem KL Gangster 2, Kerat 14 dan Tyckoon.
Itu senarai produksi lakonan aktor popular masa kini, Aaron Aziz yang terbaharu khabarnya akan terlibat dengan sebuah filem aksi belum berjudul bakal diarahkan oleh seorang pengarah dari Brunei, selain juga dijadualkan membintangi filem Cicakman 3.
Populariti sudah berada kemas dalam genggaman diri pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz. Namun sosok kacak berusia 36 tahun itu mengakui ada lagi satu impiannya yang belum tercapai, malah dia melabelkan impiannya yang satu itu sebagai suatu deklarasi andai ia sukses dicapai.
"Meraih status penduduk tetap di Malaysia merupakan deklarasi yang paling berharga buat saya berbanding sebarang pengiktirafan," akui Aaron kepada Kosmo! ketika ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 di Genting Highlands, Pahang, Ahad lalu.
Sebenarnya, Aaron dan keluarga yang terdiri daripada isterinya, Diyana Halik, 31, serta tiga orang anak mereka, Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6, dan Dahlia Arissa, 2, sebenarnya kini masih menunggu keputusan status permohonan untuk menjadi warganegara di Malaysia.
Dalam kenyataan medianya sebelum ini, aktor itu menegaskan dia sudah memohon taraf Penduduk Tetap (PR) dengan kerajaan Malaysia sejak awal Ogos tahun lalu (2011).
"Saya sudah bosan sebab isu kewarganegaraan sering dipersoalkan terhadap saya. Saya buat semua ini pun kerana tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
"Mengapa saya harus berpatah balik kepada kehidupan yang lama sedangkan saya sudah mempunyai kehidupan yang sempurna di Malaysia. Untuk masa depan yang lebih cerah, adalah lebih baik saya mendapatkan status penduduk tetap Malaysia," jelas Aaron yang juga mengakui telah menjual kereta dan rumahnya di Singapura.
Kemenangan dipertikai
Dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular 2011 dan Pelakon Filem Lelaki Popular 2011, Aaron tidak menolak andai kemenangannya itu ini akan dipertikaikan ramai.
Ujarnya: "Kemenangan ini di luar jangka! Saya faham dan mengakui saya tidak layak dipertandingkan dalam mana-mana festival mahupun anugerah memandangkan status saya yang masih bukan warganegara Malaysia.
"Peluang untuk saya diiktiraf adalah tipis untuk anugerah sebegini, tapi syukur Alhamdulillah pengiktirafan ini membuktikan saya diterima peminat di Malaysia."
Tambah Aaron: "Saya menjangkakan cabaran yang akan hadir lebih getir berbanding sekarang, tipu kalau saya cakap tidak gembira, itu sudah semestinya!
"Cuma saya juga menjangkakan tahun depan akan lebih mencabar sebab peminat mesti mengharapkan yang lebih baik berbanding sekarang. Kerja akan bertambah begitu juga tekanan yang akan hadir tapi saya masih tetap sama seperti dulu."
Begitu juga pemilihan watak, kata Aaron dalam mengejar karier dia tidak pernah cenderung memikirkan sesuatu kemenangan atau pengiktirafan melalui naskhah lakonannya melainkan cuba untuk memberikan yang terbaik.
"Saya tidak pernah menyifatkan diri saya seorang yang memilih watak, malah tidak pernah pun terfikir menerima tawaran berlakon dengan projek yang boleh menang anugerah," ujar pelakon yang meledak namanya menerusi filem Ombak Rindu dan KL Gangster pada tahun lalu.
Lesap begitu sahaja
Rezeki yang bukan datang bergolek di depan mata, segala susah payah yang dilalui Aaron sebelum bergelar sebutir bintang yang bersinar disimpannya kemas dalam memori silam.
"Karier adalah sumber rezeki saya, setiap kali ada projek antara sebab utama kerana anak-anak dan keluarga bukan kerana pengarah atau watak," getusnya yang suatu ketika dulu mula dikenali dengan drama Emil Emilda.
Aaron turut berpegang pada prinsip keikhlasan. Ini kerana bagi dirinya apa yang dilihat penonton di layar kaca mahupun layar perak adalah dirinya yang sebenar.
"Saya sentiasa memikirkan hasil lakonan saya, yang paling penting saya tak tipu penonton atau peminat.
"Saya juga tidak akan lesap begitu sahaja selepas ini dan harap perkara ini tidak akan berlaku kepada saya, saya akan memberikan yang terbaik," ucapnya.