Friday, 11 June 2021
Wednesday, 23 October 2019
BoBoiBoy Movie 2 raih RM9.9 juta selepas lima hari tayangan
KUALA LUMPUR: Kecemerlangan filem animasi tempatan, BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2) terus terbukti apabila mencatat kutipan mencecah RM9.9 juta selepas lima hari tayangan.
Kutipan itu diperoleh menerusi tayangan di tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.
Terdahulu, filem itu melakar sejarah baharu sebagai produksi animasi tempatan mencatat kutipan tertinggi apabila meraih RM1.18 juta pada hari pertama tayangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak, berkata catatan itu membuktikan penerimaan luar biasa penonton, sekali gus memecah rekod filem pertama yang mengambil masa 13 hari untuk meraih kutipan serupa.
“Saya teruja dan tidak menyangka kutipan BBBM2 mampu mencecah hingga RM9.9 juta dalam tempoh lima hari tayangan.
“Ketika filem BoBoiBoy pertama menemui penonton tiga tahun lalu, ia memerlukan 13 hari untuk mendapat jumlah sama.
“Perkembangan memberangsangkan ini membuktikan penonton di negara ini semakin memberikan sokongan terhadap animasi tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Jastina Raja Arshad, berkata walaupun berdepan saingan filem antarabangsa, animasi berkenaan tetap mendahului carta.
“Berita gembira ini memberikan impak positif, sekali gus memperlihatkan potensi filem tempatan untuk terus berkembang.
“Walaupun berdepan saingan filem antarabangsa, BBBM2 masih mendapat tempat di hati penonton pelbagai usia.
“Untuk lebih mendekati khalayak, siri jelajah akan diteruskan di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang,” katanya mengenai filem yang mendominasi 145 pawagam tempatan itu.
Filem arahan Nizam Abdul Razak itu mengisahkan perjuangan BoBoiBoy dan rakannya melawan kuasa kuno Reta’ka yang cuba menawan galaksi.
Terdahulu, BoBoiBoy The Movie mencatat kutipan keseluruhan RM16 juta ketika ditayangkan pada 2016.
Subscribe to:
Posts (Atom)