Sunday, 20 May 2012

Lima saat saja dari Pahang ke Kelantan

 

KUALA LIPIS: Dia seorang guru silat yang terkenal di Merapoh dan andainya dia berkata bahawa tidak perlu menaiki kenderaan untuk ke Kelantan, pasti ramai yang mengaitkan kenyataannya itu dengan ilmu serta kehandalan yang dimilikinya.

“Memang saya boleh ke Kelantan dalam tempoh tidak sampai lima saat. Kalau tidak percaya, saya boleh buktikan,” kata Ismail Abdullah, 68, yang menetap di Kampung Mentara Baru, Merapoh, dekat sini.


Bukan niat Ismail bermegah dan berbangga dengan ilmunya, tetapi memang bukan sesuatu yang sukar baginya ke negeri jiran itu.


Selepas diselidik, rupa-rupanya rumah Ismail terletak di garisan sempadan Pahang-Kelantan dan dalam beberapa langkah saja, Ismail boleh berada di Kelantan dan pulang ke Pahang dalam sekelip mata.


“Saya tidur di Pahang dan memasak di Kelantan. Saya tidak perlu menaiki kenderaan ke Kelantan. Kadangkala, saya sendiri keliru sama ada saya orang Pahang atau Kelantan.


“Kalau mengikut sijil kelahiran, saya orang Kelantan, tetapi saya merasakan saya orang Pahang kerana sebahagian besar dari hidup saya dihabiskan di negeri itu,” katanya.


Ismail yang juga bekas Ketua Kampung Mentara Baru berkata, keadaan itu sudah dialaminya sejak kecil lagi dan dia hanya mengetahui rumahnya terletak di sempadan Pahang-Kelantan apabila Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) meletakkan batu sempadan pada tahun 1962.

Dia yang sudah kematian isteri sejak lebih lima tahun lalu menetap di rumah berkenaan bersama dua daripada lapan anaknya.


“Alamat saya menunjukkan saya menetap di Pahang, tetapi tidak sampai 5 saat, saya boleh berada di negeri Kelantan. Kalau orang lain, mereka memerlukan masa paling tidak 5 jam untuk ke Kelantan tetapi tidak bagi saya,” katanya sambil bergurau.


Itulah istimewanya kediaman Ismail dan dia tidak berhasrat mengubah lokasi rumahnya kerana selesa dengan keadaan itu walaupun pernah terfikir berpindah.

SHARE

Blog Archive

disable copy content