WELLINGTON: Minum lapan liter minuman ringan setiap hari membawa padah
kepada seorang wanita New Zealand kerana tabiat itu menjadi punca
kematiannya disebabkan pengambilan air minuman berkenaan pada kadar itu
adalah keterlaluan dan berlebihan.
Suri rumah dan ibu kepada lapan cahaya mata, Natasha Harris, 30, dari
Invercargill, mati akibat serangan jantung pada Februari 2010.
Tahap toksid terlalu tinggi dalam kafein, unsur rangsangan yang ditemui
dalam Coke, mungkin menyumbang kepada kematiannya. Fairfax Media
melaporkan pakar patologi, Dr Dan Mornin, memberi keterangan dalam
siasatan rasmi kelmarin bahawa wanita itu mungkin mengalami hipokalemia
atau kadar potassium rendah disebabkan pengambilan berlebihan Coca Cola
dan tabiat pemakanan tidak sihat.
Tanda hipokalemia termasuk degupan jantung tidak normal, menurut Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat.
Mornin berkata, tahap toksid terlalu tinggi dalam kafein, unsur
rangsangan yang ditemui dalam Coke, mungkin menyumbang kepada
kematiannya.
Pasangan Natasha, Chris Hodgkinson, memberi keterangan bahawa wanita itu minum antara lapan dan 10 liter Coke sehari.
“Perkara pertama yang akan dilakukannya di waktu pagi ialah minum Coke
yang diletak di tepi katilnya dan perkara terakhir sebelum tidur ialah
minum Coke. Dia ketagih Coke,” katanya.
Hodgkinson turut berkata, Natasha hanya makan sedikit dan merokok 30
batang rokok sehari. Beberapa bulan sebelum kematiannya, Natasha turut
mengalami masalah tekanan darah dan kurang tenaga.
Beliau berkata, pada pagi hari kematiannya, Natasha membantu anaknya
bersiap ke sekolah apabila rebah. Beliau menghubungi perkhidmatan
kecemasan dan cuba melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut tetapi
gagal menyedarkannya.
Seorang lagi pakar, Dr Martin Sage, dalam keterangan itu berkata ‘jelas
pengambilan jangka panjang atau singkat minuman ringan cola boleh
menyebabkan simptom yang dramatik dan ada andaian kukuh bahawa ia boleh
membawa kematian dalam kes tertentu.
Siasatan rasmi kes Harris diadakan kerana kematiannya yang luar biasa
atau tidak boleh dijelaskan dengan mudah selain boleh membantu membentuk
dasar kesihatan masa depan di New Zealand.
Disebabkan bukti kes sudah lengkap, pejabat koroner akan mengumpul dan mengeluarkan laporan akhir kematian itu.
Dalam satu temuramah dengan Associated Press, pakar pemakanan di
Universiti Otago, Lisa Te Morenga, berkata sebarang pengambilan
berlebihan apa juga bentuk cecair dalam cuaca sejuk berkemungkinan
merosakkan sistem keseimbangan dan semula jadi badan.
Jurucakap Coca Cola Oceania, Karen Thompson, berkata produknya selamat.
“Kami bersetuju dengan maklumat yang dikongsi oleh pejabat koroner yang
mengambil secara berlebihan sebarang jenis produk makanan termasuk air,
dalam tempoh singkat dengan kekurangan bahan berkhasiat dan gagal
mendapatkan bantuan perubatan, boleh membawa petanda dramatik,” katanya.
- AP.