Tuesday 17 January 2012

Berita: DRB-Hicom beli saham Proton

The Proton Company logo

Kerajaan membuat keputusan perniagaan yang tepat dengan menjual 42.74 peratus pegangannya dalam Proton Holdings Bhd kepada DRB-HICOM Bhd, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata kerajaan dan Khazanah Nasional Bhd, cabang pegangan pelaburan kerajaan, telah melakukan penilaian yang tepat terhadap kualiti pembida bagi pegangan berkenaan.

"DRB-HICOM merupakan pilihan yang tepat. Pada dasarnya, ia mempunyai pengalaman yang luas dalam industri kereta dan kini bekerja dengan banyak pengeluar bertaraf dunia," kata beliau selepas taklimat media mengenai Kajian Pasaran Kenderaan Motor 2011 dan Tinjauan 2012, di sini Selasa.

Aishah berkata DRB-HICOM juga mempunyai tenaga kerja yang sesuai dan kepakaran untuk membantu meningkatkan imej pembuat kereta nasional itu dan menambah baik kualiti keretanya dalam jangka panjang.

Mengenai bagaimana perkembangan terkini akan mempengaruhi industri, beliau berkata: "Dalam jangka pendek, ia mungkin tidak memberi sebarang kesan tetapi apa yang berlaku di masa depan, ia akan bergantung kepada apa yang dibawa DRB-HICOM kepada Proton."

Sementara itu, Aishah berkata, perubahan dalam pemegang saham Proton tidak akan mempunyai kesan terhadap pilihan pembeli bagi model syarikat.

"Model-model Proton memerlukan peningkatan kejuruteraan dan penggayaan semula di samping dilengkapi dengan teknologi terkini bagi menjadikannya lebih menarik," katanya.

Pada Isnin, Khazanah memutuskan untuk menjual pegangannya kepada konglomerat hartanah dan kereta, DRB-HICOM pada RM1.29 bilion, atau RM5.50 sesaham.

Sumber: BERNAMA

SHARE

Blog Archive

disable copy content